Friday, 16 May 2014

Novel

Bola Hidupku
Bab 1 (Kelahiran Bintang)
“Hoi! Passing-lah. Jangan main seorang diri!” jerit Khairol.
“Sabarlah, aku sedang test skil yang abah aku ajar” ujar Fazli.
“Skil apa? Aku tengok macam tak ada skil saja” balas Khairol. Fazli terus membuat skil yang pernah diajar oleh bapanya.
“Aku sudah agak, kau mesti kalah menggelecek dengan aku” kata Fazli. Khairol yang melihat skil Fazli terus mengejar bola dengan muka tak puas hati.
“Alamak, habislah aku! Anak Pak Suffian hendak rembat aku” Ijey sebagai penjaga gol terus cemas apabila Fazli meluru kepadanya. Fazli tanpa berfikir panjang terus merembat bola dengan sekuat hati. Bola tersebut terkena dinding lalu meluru ke kaki Pak Sufian.
“Hah, apa benda pula itu? Bola rupanya. Budak-budak ni main tak kira masa. Tak penat ke. Dahlah aku dah pening mencari...” leter Suffian yang berumur 40 tahun juga bapa kepada Affan.
 “Di manalah aku meletakkannya. Di dalam bakul tak ada, di bawah TV juga tak ada. Dimakan tikus agaknya” kata hati Suffian dengan muka yang cemas seperti mencari-cari sesuatu.
“Eh, tak siap lagi suami aku ni? Apa lagi yang dicarinya itu?” fikir Puan Basya yang sedang sarat mengandung.
 “Abang cari apa?” dia cuba menanyakan suaminya. Suaminya hanya diam sambil menggaru-garu kepala dan terus mencari-cari.
“Tak jawab pula dia ni”.
 “Abang cari apa? Cubalah beritahu” dia terus bertanya.
 “Eh, bila masa pula awak ada di belakang saya?” tanya Suffian terkejut.
 “Dari tadi lagi” jawab isterinya bersahaja.
 “Petang ni abang ada perlawanan penting. Tetapi ia hilang pula” jawab Suffian.
“Kasut, beg dan barang-barang lain sudah abang siapkan. Tinggal benda itu sahaja. Pening abang dibuatnya” sambungnya.
 “Ooo... ini mesti benda ‘itu’, kan?” jawab isterinya sambil tersenyum.
“Ada di luar sana”.
“Di luar? Awak buang?” tanya Suffian cemas.
“Saya sidaikan, bukannya buang!” jelas Basya.
“Laaa... di ampaian luar rupanya. Separuh nafas aku cari di dalam rumah” kata hati Suffian.
“Kenapa tak beritahu awal-awal?” tanya Suffian kepada isterinya.
“Tadi saya  tanya abang tak jawab” sindir Basya.
“Ok lah, saya pergi dulu” kata Suffian.
 “Baik. Tapi, abang jangan balik lewat sangat ya. Saya ni tunggu masa saja” kata Basya.
 “Jangan risau, abang pergi sekejap saja. Maghrib nanti abang baliklah” pujuk Suffian.
“Tunggu abah balik, ya. Jangan nakal-nakal” kata Suffian sambil mengusap-usap perut isterinya.
“Ada-ada saja abang ni” ujar Basya tersenyum.
  “Cik Li! Tu abah kau” kata Khairol sambil menunjuk ke arah Suffian.
 “Eh, abah dah nak pergi?” tanya Fazli. Permainan bola sepak yang dimainkan oleh sekumpulan budak-budak sebentar tadi berhenti serta merta.
“Selamat berjaya abah, abah mesti menang, ya” kata Fazli sambil mencium tangan bapanya.
 “Fazli dan kawan-kawan yang lain tolonglah doakan sekali supaya abah menang”.
“Baiklah abah” jawab Fazli.
“Aku dah lambat ni. Mesti kena marah dengan mereka nanti. Hahaha!” Suffian ketawa sendiri.
 “Aku tak boleh tinggalkan baju ni. Entahlah, barangkali nombor ini sudah sebati dengan jiwa aku. Harapnya aku menang lagi hari ini! Manalah tahu, kalau-kalau nombor ini juga akan membawa tuah kepada anak-anak aku nanti. Insya-Allah”. Suffian memegang erat bajunya yang bernombor 11 tersebut. Sesekali di mencium baju itu.
“Mana Pian? Sudah berzaman kita tunggu di sini. Ini mesti sebab dia tonton cerita Hindustan” marah Badrol.
“Jika ikutkan hati, mahu saja aku pandu lori ni” sambungnya.
“Haaa, pandulah. Tunggu apa lagi?” kata Azri. “Emmm, aku tak ada lesen memandu lori. Sekarang sudah pukul 11 pagi. Perlawanan kita bermula pukul dua sekejap lagi”.
“Yuuhuu, my friends!” Suffian tiba-tiba muncul.
“Haaa.. itu pun dia” kata Azri.
“Naiklah cepat, Badrol. Nanti terlambat pula. Hehehe” kata Suffian.
 “Kau yang lambat” balas Badrol.
3.15 petang. Perlawanan liga bola sepak antara Batalion 5 dan Batalion 6 berlangsung sengit. Liga bola sepak antara batalion polis adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat di sekitar Cheras. Acara tahunan ini sungguh menarik dan meriah. Pemain nombor 11 daripada Batalion 5 dihimpit kuat oleh pemain nombor 7 daripada Batalion 6.
“Pian? Huh!”.
“Ajis?”. Mereka berdua memang dikenali ramai kerana mutu permainan yang sangat baik.
“Pian! Rembat, Pian!” jerit penyokong-penyokong Batalion 5.
“Aduh!” Suffian jatuh kerana dikasari oleh Aziz.
Pengadil terus meniupkan wiselnya dan memberi sepakan percuma kepada pasukan Batalion 5. Badrol mengambil sepakan tersebut. Dengan lafaz bismillah dia merembat bola tersebut. Bola itu terlalu tinggi melepasi kepala Suffian.
“Ini... Ini macam boleh saja” bisik hati Suffian.
“Pian! Sekarang, kau boleh buat Pian!” jerit Badrol. Suffian terus melibas bola tersebut dengan sekuat hati.
“Gol atau tidak?” penyokong tertanya-tanya.
Pukul 4.30 petang di Hospital Kajang. “Cepat, doktor! Dah nak bersalin sangat nampaknya isteri saya ni” kata Suffian yang membawa isterinya ke bilik bersalin.
“Selamat ataupun tidak? Anak lelaki ataupun perempuan? Lama pula prosesnya, entah-entah anak kambar? Eh, apa aku mengarut ni?” hati Suffian semakin tidak tenang. Anak-anaknya yang lain menanti adik baru mereka di bangku.
“Doktor dah keluar. Doktor, bagaimana isteri dan anak saya? Hati saya dah tak tenang ni” kata Suffian.
“Drama swasta betul bapa budak ni” kata hati doktor perempuan tersebut.
“Encik Suffian, bawa bersabar. Saya ada sesuatu mahu tanya encik” kata doktor itu.
“Tanya apa pula? Semakin berdebar aku dibuatnya” Suffian semakin cemas.
“Abah, bagaimana dengan ibu? Abah?” tanya ketiga-tiga anaknya.
“Bertenang, saya hendak tanya, adakah... Adakah Encik Suffian menang perlawanan tadi? Berapa gol yang encik jaringkan?” tanya doktor itu sambil ketawa.
“Ishh, melawak pula doktor ni. Geram pula aku” kata hati Suffian.
“Jangan risau, isteri Encik Suffian selamat melahirkan bayi lelaki.
“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih, ya Allah! Anak lelaki ketiga. Seronoknya!” kata Suffian.
Tendangan tadi menuju tepat ke arah gol. Penjaga gol Cuma mampu berputih mata melihat bola masuk melalui celah kangkangnya.
“Alhamdulillah, berjaya! Kemenangan tadi abah hadiahkan untuk anak baru abah.














Bab 2 (Muhammad Wafiy)
Seminggu selepas kelahiran bayi dalam keluarga Encik Suffian, sebuah majlis kesyukuran diadakan. Jiran-jiran satu blok dijemput bagi memeriahkan majlis tersebut.
“Terima kasih, Abang Sudin kerana sudi datang. Kalau tak, tak meriahlah majlis saya ni”.
“Ahhh, merepeklah kau ni, Pian!”.
“Betul, bang”. Suffian memang disenangi ramai kerana sikap ramah mesranya.
“Alhamdulillah, ramai yang datang” kata Suffian.
Basya yang sedang mendukung anaknya merenung jauh ke matanya. Memikirkan masa depannya.
“Tahniah, bertambah rezeki awak lepas ni”.
“Insya-Allah, mudah-mudahan, kak” jawab Basya.
“Comelnya anak awak. Nyenyak betul dia tidur”.
“Tengok jambul itu. Comelnya! Kena simpan hingga dia besar ni”.
“Bertubuh betul badannya. Tengoklah kakinya itu, tegap. Ada gaya menjadi ahli sukan seperti ayahnya”. Bertalu-talu anak Suffian dan Basya dipuji.
“Insya-Allah, saya tak kisah sangat. Tapi, ayahnya yang nak sangat dia jadi ahli sukan” jawab Basya sambil tersenyum melihat suaminya.
“Assalamualaikum, Suffian Hamzah!”
“Hah! Wa.. Waalaikumussalam, chief! Jemput masuk, chief!” jawap Suffian sambil tabik hormat kepada majikannya, Chief Hadi yang tegap dan berkumis tebal.
“Kamu ni, tak perlulah panggil saya chief. Sekarang bukan waktu bertugas”
“Hahaha! Saya memang hormat tuan setiap masa. Terima kasih sebab sudi datang ke majlis saya ni”
“Sama-sama, mana anak kamu Suffian?” tanya Chief Hadi
“Anak? Anak yang mana satu tuan?” jawab Suffian dengan muka yang pelik.
“Ya Rabbi! Anak kamu yang baru lahir lah” balas Chief Hadi sambil menggeleng kepala.
“Ohh, maaf, tuan. Anak saya ramai. Sebab tu saya keliru. Hehehe” Suffian tersenyum malu.
“Kak Long, mari sini, bawa adik-adik sekali” Suffian memanggil anak-anaknya.
“Ok, abah” balas anaknya yang sulung sambil memanggil adik-adiknya yang lain.
“Inilah anak-anak saya, tuan. Termasuk anak yang baru lahir itu, semuanya lapan orang”
“Wah, murahnya rezeki kamu, Suffian” kata Chief Hadi. “Elok juga semuanya ada. Boleh lah kamu kenalkan mereka kepada saya. Selama ini, saya kenal muka budak-budak ini saja” sambungnya lagi.
“Baik, tuan” balas Suffian tersenyum.
“Yang comel dan malu-malu itu namanya Norlita, sembilan tahun. Kakaknya itu Norliza, 10 tahun. Kemudian Norina, 12 Tahun. Yang suka senyum itu pula Normalayati, 13 tahun. Ini yang sulung, namanya Suzana, 15 tahun. Yang tinggi itu pula, anak lelaki pertama saya. Namanya Azrul, 14 tahun. Yang bongsu ni... ehhh?” sedang Suffian mengenalkan anak-anaknya, baru dia perasan anak bongsunya, Fazli  hilang dari pandangannya.
“Ke mana dia pergi?” tanya Chief Hadi.
“Ermm.. Saya pun tidak perasan” balas Suffian
“Di situlah, abah. Dia sedang sibuk bermain katak kertas dengan kawan-kawannya” jawab Azrul sambil menunjuk jari ke arah Fazli bersama beberapa orang kawannya.
“Hehehe. Maaf, tuan. Itu Fazli, baru lima tahun” kata Suffian sambil menggaru-garu kepalanya.
“Biasalah tu Suffian, budak-budak” senyum Chief Hadi.
“Anak-anak ni memang anugerah dan amanah daripada Allah.  Saya doakan kamu tabahkan hati dan bersabar membesarkan mereka semua. Saya mahu mereka ikut jejak kamu, sukakan sukan” sambung Chief Hadi lagi.
“Amin! Saya akan berusaha bersungguh-sungguh demi mereka, tuan” balas Suffian. Suffian merenung jauh ke arah anaknya. “ Sudah tentu aku mahu anak aku menjadi bintang sukan. Tak kisahlah badminton, bola sepak, hoki atau sukan apa sekalipun. Yang penting, dapat mengharumkan nama agama, bangsa dan negara, insyaAllah” bisik hati Suffian.
 “Abang, dah fikir nak bagi nama anak kita?” tanya Basya kepada suaminya.
“Ermm, nama anak kita adalah Muhammad Wafiy” jawab Suffian.
“Muhammad Wafiy bin Suffian. Sedap juga” kata Basya
“InsyaAllah akhlaknya juga secantik namanya” Suffian tersenyum.
“Adoi, dapat lagi seorang adik lelaki yang aktif. Susahlah Ija macam ni” rungut anak Suffian, Ija kepada ibunya.
“ Hihihi! Tak payah risau, ibukan ada? Kak Long, Kak Yam, Kak Ina pun ada” balas ibunya.
“Mengada-ngada je Ija ni” kata Kak Long.
“Hehehe” Ija tersenyum malu.



















Bab 3 (Lari!)
“Hehehe! Tak ada orang, boleh main puas-puas!” kata Wafiy yang berumur lima tahun.
“Yeah! Gol pertama! Gol kedua! Gol ketiga! Jaringan hat trick! Yahuu!” jerit Wafiy seorang diri sambil merembat bola angin bercorak ‘Superman’ ke arah dinding yang diconteng agar nampak seperti gol.
“Hmmmmmm.. Mudah sangat jaringkan gol. Aku kena cuba skil lain, baru cool” kata Wafiy. Dia cuba membuat sesuatu yang hebat bagi budak berumur lima tahun. “Fuh, hebatnya aku. Tapi... Bosanla pula main sorang-sorang, tak ada kawan”
“Wafiy! Wafiy! Mana kau?”
“Alamak! Siapa pula cari aku ni?” kata Wafiy.
“Haaa, Wafiy! Dekat sini kau rupanya”
“Adi! Ada pun kau!” ujar Wafiy.
“Apa? Memanglah aku ada. Puas aku cari kau tadi. Cik Li (Fazli) cari kau. Dia suruh kita tolong abah di gerai. Jomlah kita pergi” jawab Adi adik kepada Wafiy yang berumur empat tahun.
“Alaaa.. Nantilah, aku nak main bola dulu” rungut Wafiy sambil memeluk tubuhnya.
“Main bola? Mana boleh main bola sorang-sorang. Hehehe” kata Adi lalu merembat bola tersebut ke arah dinding dengan kuat.
“Bam!” bunyi bola yang ditendang ke arah dinding.
“Opocot! Nasib baik tak kena aku” marah Wafiy kepada adiknya. “Tapi... Hehehe” muncul satu idea dari kepala Wafiy.
“Adi, kau jadi penjaga gol. Kita main sepakan penalti nak tak?” tanya Wafiy kepada adiknya.
“Alaaaa... oklah, oklah!” Adi menjawab dengan tidak puas hati.
“Semua dah cukup? Ada apa-apa lagi tertinggal?” tanya Suffian yang sedang membawa setandan pisang.
“Semua dah cukup agaknya. Along dan Yam sedang bancuh air” jawab Basya sambil meletakkan pisang ke dalam minyak mendidih.
“Yam, macam mana air jagung tu? Dah siap?” tanya Kak Long.
“Sikit saja lagi, Kak Long” jawab Yam
“Oh, ya! Mana kuih-muihnya, bang?” tanya Basya kepada suaminya
“Sekejap lagi saya ambil” jawab Suffian.
“Tak payah susah-susah abah. Tu Cik Li sedang bawakan kuih-muih tu” jawab Yam sambil menunjuk ke arah Fazli.
“Erghhh! Apa ada dalam mangkut tingkat ni? Kuih ke besi? Beratnya! Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini ya Allah” keluh Fazli yang mengangkat mangkut tingkat berisi kuih-muih dari rumahnya hingga ke gerai bapanya.
“Kuih donat, karipap dan cucur badak dah sampai! Letihnya...! Kak Long, bersimpatilah sikit. Tuangkanlah air jagung tu. Dari jauh tadi nampak sedap sangat” rayu Fazli kepada kakaknya.
“Kesian adik kakak ni. Mari sini” jawab Kak Long sambil menuang segelas air jagung kepada Fazli.
“Mana adik kamu, Si Adi dan Wafiy?” tanya Basya kepada anaknya.
“Li dah panggil tadi. Kejap lagi mereka turun. Kalau tak, siaplah mereka Li kerjakan!” jawab Fazli sambil menogak air jagung tersebut.
“Janganlah garang sangat. Mereka berduakan masih kecil” kata Basya.
“Kecil apanya, ibu? Dah membesar bagai gajah, bukannya kecil lagi” jawab Fazli dengan gelojoh.
“Ada-ada saja kamu ni, Cik Li” senyum Basya.
“Tapi betul juga, mana budak-budak tu?” tanya Suffian.
“Sedia lah! Aku nak buat rembatan kencang” jerit Wafiy.
“Cepatlah sepak, aku dah berjanggut tunggu kau” balas Adi. Wafiy terus menendang bola dengan sekuat hati ke arah gol.
“Alamak, lajunya! Tak sempak nak tangkap. Tanduk saja lah” Adi menanduk bola tersebut lalu terkena seorang lelaki bersama kawannya.
“Opocot, mak kau buah jambu jatuh!” lelaki tersebut melatah apabila terkena bola tersebut.
“Hei, budak! Siapa suruh main bola di koridor!” tengking lelaki tadi.
“Maaf, encik. Koridor, bukan korodor...” kata Adi bagi meredakan keadaan. Wafiy hanya membuat tidak tahu seperti dia tidak bermain.
“Anak-anak Suffian ni... selalu buat hal” lelaki itu merungut sekali lagi.
“Sudahlah, budak-budak memang macam tu” kata rakannya bagi meredakan lelaki tersebut. Mereka terus menuju ke arah lif.
“Hati-hati naik lif, ya” sekali lagi Adi cuba berbuat baik.
“Hahaha! Ada juga orang melatah sebut buah jambu” Wafiy terus berkata-kata selepas lelaki tersebut beredar.
“Kelakar betul! Hehehe!” Adi yang baru berumur empat tahun turut ketawa bersama abangnya.





















Bab 4 (Main lagi)
“Mari sambung main! Giliran aku!” kata Wafiy sambil memegang bola.
“Aikk? Giliran aku lah!” Adi cuba merampas bola dari abangnya.
“Dapatkan bola ni kalau boleh” kata Wafiy.
“Hoi, budak-budak!”
“Alamak!” Wafiy dan Adi terkejut apabila mendengar suara tersebut.
“Aku penat-penat bawa turun kuih, tepung, minyak dan macam-macam, kau berdua seronok main bola dekat sini, ya!” Fazli menengking adik-adiknya.
“Baik kau turun sekarang!” arah Fazli.
“Adi, lari cepat! Cik Li sudah naik angin!” Wafiy menarik baju Adi sambil berlari
“Hahaha! Lari, Wafiy! Nanti dia pukul. Lari...!” Adi berlari sambil ketawa.
“Nak lari, ya? Nasib baik aku penat. Kalau tak...”
“Wekkk! Tak dapat kejar!” Adi dan Wafiy menjelir kepada Fazli.
“Eh? Kau main-main dengan aku? Kau fikir aku penat, aku tak boleh kejar?” kata Fazli dengan marah.
“Eiii! Jaga kau! Aku dapat kau nanti, aku sekeh cukup-cukup!” jerit Fazli.
“Hoi, jangan lari!” Fazli terus mengejar.
“Jangan kejar! Hahaha!” kata Wafiy sambil melalui tangga ke arah Suffian.
“Yayy! Kita menang!” jerit Wafiy dan Adi.
“Hnssfff... hnssfff... kamu... siaplah... aku... hnnssfff... sekeh... hnssfff...” Fazli yang lelah mengejar adik-adiknya akhirnya berhenti juga.
“Apa hal budak-budak ni?” Suffian tertanya-tanya.
“Cik Li dah tua, berlari pun tak larat” kata Adi.
“Bukan tak larat, tapi tak ada tenaga sebab angkat kuih tadi. Hnnnsss... oksigen... oksigen... hnsss...” Cik Li seperti tidak bermaya kerana terlalu letih.
“Kenapa kecoh-kecoh ni?” tanya Suffian.
“Errr... Cik Li tu, abah. Dia kejar kami” kata Adi sambil menunding jari kepada Fazli.
“Hah?!” Fazli terkejut dan hanya mampu diam. Di dalam hatinya hanya tuhan yang tahu.
“Fazli! Abah suruh kamu panggil mereka, bukan main kejar-kejar dengan mereka” Suffian terus memarahi Fazli
“Bukan begitu, abah. Mereka main bola dekat lif, Cik Li marah mereka. Lepas tu..” Fazli berhenti apabila Wafiy dan Adi menunjukkan isyarat padan muka kepadanya.
“Ahhh, tengok tu, abah! Mereka tunjuk padan muka dekat Cik Li!” Fazli tidak tahan dengan perbuatan adik-adiknya itu.
“Mana? Tak ada pun?” Suffian melihat ke arah Wafiy dan Adi. Mereka berdua terus duduk diam seperti orang yang tidak bersalah.
“Eeee, budak-budak ni!” Fazli semakin geram.
“Dah! Pergi tolong ibu dan kakak-kakak kamu apa yang patut” Suffian menyuruh anak-anaknya untuk menolong.
“Baik, abah. Wafiy memang suka menolong” kata Wafiy tersenyum.
“Adi pun, abah! Hehehe!” Adi menyampuk. Fazli hanya menjeling ke arah kedua-dua adiknya.
Seperti setiap petang yang lain, gerai Suffian selalu disinggahi ramai pelanggan. “Singgahlah sekejap, Budin. Tak sudikah dengan sudip aku ni? Hahaha!” Suffian mempelawa kawannya untuk datang ke gerainya.
“Sudip nak buat apa? Kami nak pisang goreng” balas Budin dan rakan karibnya Adib.
“Aduh... bosannya” rungut Wafiy.
“Bosan? Kejap lagi ikutlah Cik Li main dengan kawan-kawan dia.
“Alaaa... bosan juga” kata Wafiy.
“Eh.. alamak! Itu Mak Cik Tun dengan anak dia, Afzal” Wafiy seperti ketakutan.
“Kenapa dengan mereka?” tanya Adi.
“Psstt! Hei, Cik Li! Jom, round! Jom!” bisik Afzal kepada Fazli.
“Round? Kejap! Kejap!” balas Fazli.
“Ibu, Li nak pergi main kejap, boleh? Tadi Li dah tolong...” Fazli meminta izin ibunya untuk pergi bermain bersama Afzal.
“Pergilah, bawa adik-adik kamu sekali. Jaga mereka baik-baik” pesan Basya kepada Fazli.
“Terima kasih, ibu. Li akan pastikan mereka bersama Li setiap masa. Li tak akan biarkan mereka... ...hilang!” Fazli terkejut apabila melihat kedua-dua adiknya telah hilang.
“Eh, mana budak-budak ni? Sekejap saja dah hilang” Fazli tertanya-tanya.
“Lari, Adi! Lari! Selamatkan diri!” jerit Wafiy sambil berlari.
“Okey! Okey! Tapi kenapa kita lari?” tanya Adi
“Nanti aku cerita! Sekarang, lari!” jawab Wafiy.
“Laaa... main lari lagi? Tak tahu penat ke budak-budak ni?” Fazli merungut.
“Tadi Li kata nak jaga adik-adik. Pergilah kejar, nanti mereka hilang, macam mana?” kata Basya kepada Fazli.
“Alaaa... penatlah Li macam ni. Makin kuruslah Li nanti, ibu.” Fazli merungut lalu mengejar adik-adiknya.

















Bab 5 (Hijrah)
“Kenapa kita lari tadi, Wafiy?” tanya Adi.
“Kalau Mak Cik Tun tangkap kita tadi, habislah kita. Mesti kena rotan dengan abah” jawab Wafiy.
“Aikk? Kenapa dia nak tangkap kita? Kenapa pula abah nak rotan kita? Adi tak fahamlah” tanya Adi lagi.
“Hish! Kau tak ingat, ya?” tanya Wafiy. Dia terus menendang bola ke arah Adi.
“Aduh! Kenapa kau rembat aku? Sakitlah!” jerit Adi.
“Budak manja! Kena bola sikit pun nak menangis” kata Wafiy.
“Huuu.. kau rembat kuat, sakit!” kata Adi sambil mengelap air mata.
“Aku rembat perlahan saja tadi, Kau tu manja sangat” kata Wafiy.
“Makanlah malam ni, abah belikan KFC untuk makan malam kita” kata Suffian.
“Wahh, bestnya, kalau setiap hari macam ni kan best” ujar Adi.
“Hmmm, tu cuma angan-angan saja” sampuk Wafiy.
“Abah ada perkara mahu bagitahu kamu semua, sebenarnya, abah kena pindah kerja di Tapah” kata Suffian.
“Apa?!” mereka sekeluarga terkejut.
“Jangan risau, abah naik pangkat” jawab Suffian tersenyum.
“Hmmm, Wafiy tak mahu pindah” kata Wafiy dengan sedih.
“Kenapa pula?” tanya Adi.
“Kalau kita pindah, Wafiy dah tak boleh main bola” sambungnya lagi.
“Jangan risau, Wafiy mesti lagi gembira berada di sana kerana sebab di sana kita akan duduk di taman perumahan. Wafiy akan dapat kawan-kawan baru. Di sana ada padang bola,  tak perlu lagi Wafiy bermain bola di koridor” kata Suffian.
“Betul ke?” Wafiy terus tersenyum.
“Itu pun nak menangis” ejek Fazli.
“Semua dah siap?” tanya Suffian.
“Dah, bang” jawab Basya.
“Selamat tinggal, Cheras. Selamat datang, Tapah” Wafiy mulakan hidup baru di Tapah.



























No comments:

Post a Comment